RAKUEN I NIKKI

TENGOK APA TUUU??

23 February 2015

Kesalahan = Kehilangan = Sesalan = Belas Kasihan = Kesyukuran

Tiada kaitan dengan cerita di bawah. Saja aku kongsikan jenaka ini.

~Assalamu'alaikum~


Pagi ini berlalu seperti pagi-pagi biasa. Sehingga tiba waktu tengah hari, aku ingin memberi makanan kepada kucing-kucing kecilku~ Setelah siap menyediakan hidangan roti yang digaulkan dengan ikan diproses itu, aku memanggil anak-anak kucing tersebut untuk makan. Beberapa minit kutunggu, tiada kelihatan walau seekor pun daripada mereka bertiga. Aku membuat keputusan untuk masuk ke rumah semula dan tunggu beberapa jam lagi. 

Jarum jam berdetik. Berdetik dan terus berdetik. Namun, harapanku kecewa. Kumenjengah di jendela, mereka masih belum pulang. Aku pun keluar untuk mencari mereka. Aku menjenguk di setiap sudut berhampiran. Di dalam parit turut kulihat. Tiada. Aku memanggil-manggil mereka dengan mengiau. Sunyi. Ngiauanku tidak berbalas. 



Setelah 10 minit, aku ternampak seekor anak kucing dan aku mendekatinya. Ternyata kucing itu milikku. Tetapi cuma ada seekor. "Ke mana pergi lagi dua ekor?" Kubermonolog sendirian. Aku ingin membawanya pulang, tetapi kumelihat dia gembira di situ, maka kubiarkannya di situ dahulu. Lalu aku pulang ke rumah dengan hati yang separuh kelegaan dan separuh penyesalan.

Malam itu, aku mengambil makanan yang dipesan di luar rumah. Aku teringatkan kucingku yang kutinggalkan di kedai berdekatan itu. Aku berjalan ke kedai itu, dan aku terlihat dia sedang termenung keseorangan di sisi parit. Aku mengusapnya dengan belaian manja. Dia ingat kepadaku dan dia mengikutiku pulang ke rumah. Aku memberinya makanan yang tidak berkesempatan untuk kuserahkan.

Malam berlarutan. Rindu berpanjangan. Hati kegelisahan. Aku mengalihkan fikiranku yang runsing kepada komputer riba ibuku. Setelah beberapa ketika, aku terdengar umpama ngiauan manja kucingku yang hilang. Hatiku berbelah bahagi sewaktu itu, "Patutkah aku pergi melihat di luar? Ataupun ia cuma mainan telingaku?" Aku membuat keputusan untuk melihat saja ke luar. Dan aku terkejut. Terkejut kegembiraan. Mereka telah pulang.

Aku segera membuka kembali pintu rumah yang telah kukunci. Mereka mengiau dengan bunyi yang sangat lantang sehingga mengejutkan ibuku. Ibuku tersedar sebentar dan kemudian tidur semula. Lantas aku menyediakan makanan untuk mereka. 

Akhirnya, mereka bersatu kembali. Hatiku tenang melihat mereka bertiga bermain bersama-sama. Aku tidak memarahi mereka. Kenapa? Kerana aku sedar sebenarnya aku yang bersalah. Aku terlalu asyik dengan melayari laman sosial sehingga terlupa untuk memberi makan kucing-kucingku. Perbuatan mereka itu aku fahami. 

Sebenarnya, aku merasakan kepulangan mereka itu, merupakan suatu tanda belas kasihan daripada Tuhan. Oleh itu, aku bersyukur pada-Mu kerana rahmat-Mu ini. Akan kubela haiwan-haiwan peliharaanku dengan lebih baik. Berikanlah aku kekuatan untuk melakukan sedemikian, Ya Allah.

# Jagalah haiwan yang dipelihara, walau apa jenis pun ia. Kerana meskipun binatang tiada akal fikiran, mereka mempunyai hati dan perasaan. Tempatkanlah dirimu di tempat mereka. Bagaimana agaknya perasaanmu diperlakukan begitu?






Jangan malu2 nak komen tau!

0 orang comel:

Post a Comment

Jom kita ramai2 komen, jom!